Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mencadangkan pihak sekolah memperkenalkan `Peer Mediation’ atau Mediasi Rakan Sebaya, sebagai salah satu usaha menangani perbuatan buli dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, pemimpin pelajar, pengawas, ketua kelas dan murid yang diberikan latihan khas boleh menjadi “mata dan telinga” sekolah untuk mengenal pasti tanda-tanda awal konflik, pengasingan, ugutan atau pembulian.

Katanya, mereka bukan mengambil alih tugas guru atau pihak sekolah, tetapi menjadi penghubung awal yang boleh mendekati mangsa, menenangkan keadaan dan melaporkan perkara tersebut kepada guru yang bertanggungjawab.

“Saya sendiri pernah menawarkan untuk melatih pemimpin pelajar menjadi peer mediator supaya mereka mempunyai kemahiran mendengar, berkomunikasi, mengurus konflik dan mengenal pasti bila sesuatu keadaan perlu segera dirujuk kepada guru atau pihak berkuasa.

“Cadangan dan tawaran saya tidak diendahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.

Tambah Zainul Rijal, Peer Mediation bukan pengganti kepada tindakan disiplin atau siasatan rasmi.

Katanya, kes buli yang melibatkan ancaman serius, keganasan fizikal, kecederaan, unsur seksual atau risiko keselamatan tidak wajar diserahkan kepada murid untuk diselesaikan sendiri.

Dalam keadaan sedemikian, ujar beliau, keselamatan mangsa mesti menjadi keutamaan dan prosedur sekolah hendaklah dipatuhi.

“Peranan peer mediator ialah mencegah konflik daripada menjadi lebih buruk, bukan menjadi “hakim” kepada rakan-rakan mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya setiap sekolah perlu membina budaya bahawa melaporkan buli bukan mengadu, tetapi menyelamatkan seseorang.

Katanya, semua pihak tidak boleh menunggu sehingga berlaku kecederaan atau kematian untuk mula bertindak.

“Seorang pemimpin pelajar yang terlatih mungkin menjadi orang pertama yang menyedari perubahan tingkah laku seorang rakan, mendengar keluhan mangsa atau melihat sesuatu yang tidak kena.

“Kadangkala, satu tindakan kecil pada waktu yang tepat mampu menghalang tragedi yang jauh lebih besar,” katanya.

Tambahnya, mendidik murid bukan hanya untuk menjadi pelajar yang pandai, tetapi menjadi manusia yang berani menghentikan kezaliman terhadap rakannya.

“Jangan tunggu buli menjadi tragedi. Kenal pasti awal, campur tangan awal dan selamatkan awal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here