KUALA LUMPUR – ASEAN Rohingya Center (ARC) memandang serius perkembangan penghantaran pulang pelarian Myanmar dari Malaysia.
Pengarahnya, Dr Helmi Ibrahim mahu persoalan utama perlu dijelaskan sama ada penghantaran pulang itu hanya melibatkan warga Myanmar yang telah disahkan status kewarganegaraan atau turut melibatkan pelarian Rohingya.
“Sekiranya terdapat individu keturunan Rohingya dalam kumpulan yang dihantar pulang, apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin apabila kembali ke Myanmar?
“Adakah setiap individu telah melalui penilaian secara kes demi kes, khususnya bagi mengenal pasti mereka yang mungkin berdepan risiko penganiayaan, penahanan atau ancaman keselamatan?” soalnya dalam kenyataan.
ARC juga ingin mendapatkan penjelasan sama ada terdapat jaminan keselamatan daripada pihak Myanmar sebelum penghantaran pulang dilaksanakan.
“Adakah Langkah ini merupakan satu dasar baharu kerajaan untuk menghantar pulang semua pelarian atau migrain dari Malaysia ke negara asal mereka?” soalnya.
Menurutnya, jka benar terdapat perubahan dasar, apakah skop dasar tersebut dan siapakah yang akan terlibat, soal Helmi.
“Adakah ia hanya melibatkan warga Myanmar yang telah disahkan sebagai warganegara, atau turut melibatkan pelarian dan individu yang berada di bawah perlindungan UNHCR?
“Bagi komuniti Rohingya khususnya, apakah jaminan keselamatan yang akan diberikan sekiranya mereka dihantar pulang ke Myanmar?
“Adakah Kedutaan Malaysia di Yangon akan memantau keadaan mereka selepas tiba di Myanmar bagi memastikan mereka tidak dianiaya, ditahan atau dikenakan tindakan yang mengancam keselamatan mereka?” soalnya lagi.
ARC berpandangan isu penghantaran pulang bukan sekadar persoalan imigresen tetapi turut melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan dan perlindungan individu yang berisiko.
Kerajaan Malaysia wajar memberikan penjelasan yang jelas mengenai siapa yang dihantar pulang, status mereka, apakah dasar yang sedang dilaksanakan, apakah jaminan keselamatan yang diperoleh serta mekanisme pemantauan selepas kepulangan, katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
1,476 warga Myanmar dihantar pulang secara sukarela hari ini
















