KUALA LUMPUR – Data ekonomi tidak pernah menipu yang mana sepanjang tiga tahun di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pertumbuhan ekonomi negeri itu menunjukkan momentum serta bukti yang sangat jelas dan memberangsangkan.
Felo Kanan Institut Kajian Data Raya dan Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Abdul Rahim Rizwan berpendapat, indikator ekonomi rasmi membuktikan Keluaran Dalam Negeri KDNK (KDNK) Melaka terus meningkat secara berperingkat dari tahun ke tahun.
“Berdasarkan data rasmi, ekonomi Melaka sebenarnya terus berkembang daripada RM46.9 bilion pada tahun 2023, meningkat kepada RM48.9 bilion (2024) dan seterusnya mencapai RM50.3 bilion pada tahun 2025.
“Ini adalah bukti data yang tidak boleh menipu bahawa aliran peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik di Melaka,” katanya menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Dari Dasar Ke Rakyat, Membaca Perubahan Melaka’.
Beliau berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh kestabilan dan lonjakan dalam sektor perkhidmatan, pelancongan serta pembuatan menerusi peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
“Pendekatan pentadbiran Ab Rauf menerusi inisiatif Melaka Industrial Booster (MIB) yang diperkenalkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya mempercepatkan proses kelulusan serta mempermudahkan fasiliti pelaburan.
“MIDA merekodkan Melaka menerima RM14.68 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2025.
“Ini memperlihatkan peningkatan keyakinan pelabur luar dan dalam negara terhadap kepimpinan kerajaan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abd Rahim turut menyentuh mengenai cabaran fasa seterusnya yang perlu diberi tumpuan.
“Dalam kerancakan ekonomi hari ini, kerajaan negeri harus memastikan pelaburan yang diluluskan tersebut dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Ini akan dapat memberi peluang pekerjaan berkualiti serta memberi kembangan limpahan ekonomi kepada rantaian pembekal tempatan,” katanya.
Sementara itu, mengenai sektor pelancongan tempatan, Abdul Rahim berkata, ia telah mencatatkan lonjakan signifikan hasil perbelanjaan pelancong domestik yang meningkat daripada RM6.44 bilion pada 2023 kepada RM8.7 bilion pada 2025.
“Kita lihat langkah kerajaan negeri memperkenalkan zon bebas kenderaan (car free zone) selama 54 jam serta pelbagai program tarikan khas terbukti berjaya memikat pengunjung untuk tinggal lebih lama, sekali gus berbelanja lebih banyak bagi menggiatkan ekonomi rakyat.
“Impak daripada pertumbuhan ekonomi ini akhirnya kembali semula kepada rakyat Melaka itu sendiri, sama ada pemandu perkhidmatan e-hailing, pengusaha hotel, restoran hinggalah peniaga kecil menerusi peningkatan pendapatan dan penambahbaikan infrastruktur negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















