Datu Adana Jed yang mewakili Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn merasmikan pelancaran Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh pembangunan bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi penganjuran Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak, semalam.

Program itu dirasmikan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Inovasi & Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed yang mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn di Universiti Teknologi Sarawak, Sibu.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datin Safida Zalma Mohd Piah.

Datu Adana Jed mendengar penerangan peserta pada pelancaran Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak semalam.

Program itu menjadi medan untuk mencungkil bakat, mengasah kemahiran dan memberi pendedahan kepada generasi muda dalam bidang teknologi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Sri Roland Sagah berkata, Malaysia Techlympics merupakan platform pembudayaan STI yang memberikan pendedahan secara praktikal dan berasaskan pengalaman kepada pelajar dan belia melalui pertandingan yang melibatkan pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Kita tidak mahu hanya mengimport dan menggunakan teknologi. Kita mahu membina keupayaan untuk mencipta dan membangunkan teknologi yang dapat menyelesaikan masalah sebenar serta memberi nilai kepada rakyat dan negara,” katanya.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan Datu Adana.

Tambah Roland Sagah, selaras dengan prinsip keterangkuman, Malaysia Techlympics turut melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) iaitu pembudayaan STI bagi memastikan akses kepada pendidikan STI dapat diperluas khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, program berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM khususnya kepada pelajar luar bandar, guru dan komuniti setempat.

Antara peserta Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak.

“Sehingga kini, kira-kira 2,059 pelajar dan 256 guru dari Sarawak telah terlibat dalam program ini melalui pelbagai bentuk latihan,” katanya.

Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sarawak merupakan zon ketujuh dan menghimpunkan seramai 915 peserta dari seluruh Sarawak untuk bersaing bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada November 2026 di MAEPS, Serdang.

Lebih daripada sekadar pertandingan, Malaysia Techlympics memberi ruang kepada pelajar dan belia untuk meneroka teknologi, menguji idea, menyelesaikan masalah dan menghasilkan penyelesaian secara kreatif menerusi pendekatan hands-on dan experiential learning.

Melalui inisiatif ini, MOSTI terus memperkasa generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bagi membina bakat STI yang mampu mencipta penyelesaian, menguasai teknologi dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Sejak Jun lalu pula, Malaysia Techlympics telah dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian di pelbagai lokasi seluruh negara.

Antara teknologi yang dipersembahkan pada Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak semalam.

Pendekatan hybrid ini bertujuan memperluas capaian dan menggalakkan penyertaan komuniti setempat terhadap pembangunan STI negara.

Pada masa ini, aktiviti STI yang diperkenalkan lebih berfokus kepada memupuk dan meningkatkan minat terhadap STI serta menggalakkan penghasilan idea inovasi dan mencungkil bakat dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here