Presiden Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran.

KUALA LUMPUR – Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran menyifatkan pendirian Anthony Loke berhubung peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan semakin mengelirukan apabila pelaksanaannya kini dikaitkan pula dengan hari Datuk Seri Najib Razak mula menjalani tahanan rumah.

Menurut Thanenthiran, Anthony Loke pada awalnya menyatakan mahu meletakkan jawatan, kemudian memaklumkan akan berbuat demikian selepas pulang dari China.

Namun, ujarnya, selepas surat peletakan jawatan dihantar, beliau masih mahu kekal sehingga Najib memulakan tahanan rumah.

“Hello Ah Loke! Mula-mula kata akan letak jawatan, kemudian tunggu balik China, sekarang surat sudah dihantar tetapi masih mahu kekal sehingga Najib masuk tahanan rumah.

“Ini peletakan jawatan atau drama bersiri?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Thanenthiran turut menyindir perkembangan itu sebagai ‘top joke of the day’, sambil mempersoalkan mengapa peletakan jawatan seorang menteri perlu disertakan dengan begitu banyak syarat dan penetapan masa.

Beliau menegaskan jawatan menteri bukan milik peribadi mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya amanah yang diberikan dalam Kerajaan Malaysia.

“Jawatan Menteri bukan milik peribadi, bukan milik DAP dan bukan bahan tawar-menawar politik.

“Kalau sudah kata mahu letak jawatan, letaklah. Jangan terus mainkan rakyat dengan episod demi episod,” tegasnya.

Thanenthiran berkata, seorang menteri perlu menghormati amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya, terutama apabila keputusan untuk berundur itu sendiri sudah diumumkan secara terbuka.

“Cukuplah drama. Kata mesti dikotakan. Jawatan Menteri ialah amanah Kerajaan Malaysia, bukan pentas untuk membuat lawak politik,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan Anthony Loke berhubung tempoh peletakan jawatan itu hanya menambahkan persoalan terhadap pendirian yang sebelum ini disampaikan kepada rakyat sebagai satu keputusan yang tegas.

Menurutnya, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan tidak seharusnya terus disajikan dengan siri kenyataan yang berubah mengikut perkembangan semasa.

“Kalau benar keputusan sudah dibuat, hormatilah keputusan itu. Jangan menjadikan jawatan Menteri sebagai alat untuk menghantar mesej politik atau menunggu perkembangan tertentu sebelum ia benar-benar berkuat kuasa,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here