HULU SELANGOR – Pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu hari ini menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat selepas menyaksikan kempen yang dijalankan oleh calon-calon bertanding sejak 14 hari lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di salah satu pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khing Ming di sini mendapati, ada pengundi yang sudah menunggu di hadapan pintu pagar dipusat berkenaan seawal pukul 7 pagi.
Seorang pengundi, Noradi Rusli, 40, berkata, dia keluar dari rumah untuk pergi ke pusat pengundian di sini seawal pukul 6.50 pagi dengan ditemani anak lelakinya.
Katanya, dia sengaja membuat pilihan untuk keluar awal kerana sudah menjadi tabiatnya melakukan sesuatu dengan pantas berbanding orang lain.
Malah, sikap seperti itu memang telah tertanam di dalam sanubarinya dan menjadi disiplin memandangkan beliau juga merupakan seorang penjawat awam.
“Saya tak sangka jadi pengundi pertama hari ini dan niat saya cuma nak menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Alhamdulillah, saya telah melaksanakan apa yang patut saya buat sebagai seorang pemilih di Kuala Kubu Baharu ini,” katanya yang menetap di Batang Kali.
Pemandu teksi, Pillai Appu, 72, pula berkata, dia teruja untuk keluar awal kerana mahu memberikan undinya kepada calon pilihan demi kesejahteraan penduduk di Kuala Kubu Baharu.
Ujarnya, tanpa bersarapan terlebih dahulu, dia terus memandu kenderannnya menuju ke pusat pengundian sambil ditemani isterinya.
“Saya memang teruja nak keluar awal sejak malam tadi lagi sebab ada urusan-urusan lain yang hendak saya buat pagi ini.
“Lagipun sebagai pemandu teksi saya kena cari rezeki untuk keluarga, memandangkan pendapatan saya pun bergantung pada
usaha saya sendiri. Kalau saya rajin dapat ambil ramai orang dah tentulah boleh peroleh rezeki lebih,” ujarnya.
Bagi seorang peniaga kedai minuman, Long Chew Mui, 61, pula, dia membuat pilihan untuk keluar mengundi pagi disebabkan keadaan cuaca pada sebelah petang yang sering hujan sejak kebelakangan ini.
Katanya, dia tidak mahu keluar lewat kerana jika tengahari keadaan cuaca yang agak panas membataskan pergerakannya selain faktor usianya sendiri yang telah meningkat.
“Memang saya pilih mahu keluar pagi, sebab nanti tengahari cuaca panas. Lagi pun sekarang ini musim hujan dan kalau pergi mengundi lewat, balik nanti mesti akan basah,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi muda yang merupakan pelajar Tingkatan Enam, Yap Yu Heng, 19, berkata, dia datang awal ke pusat pengundian di sini kerana pada sebelah tengahari nanti akan terlibat dengan program di sekolahnya.
“Saya tiba di pusat mengundi di sini pada 7.50 pagi hari ini untuk membuang undi memandangkan saya ada program sekolah nanti,” katanya.
Yu Heng menambah, memandangkan ini kali pertama, dia telah membuat kajian mengenai calon yang bertanding pada pilihan raya kecil itu.
“Ini adalah kali pertama saya mengundi, jadi saya sempat membuat kajian mengenai calon-calon yang bertanding pada PRK kali ini.
“Saya tahu ada empat calon yang bertanding. Jadi, saya buat kajian lebih awal.
“Harapan saya kepada calon yang akan menjadi wakil rakyat disini ialah beliau akan terus mempromosikan dan menambah baik Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi pelancongan,” katanya. – MalaysiaGazette