GEORGE TOWN – Pemain kebangsaan dan Selangor FC, Muhammad Faisal Halim, atau lebih dikenali sebagai Mickey, menyatakan kesediaannya untuk memenuhi hasrat Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, mangsa renjatan elektrik yang mahu bertemu dengannya.
Faisal turut meluahkan harapannya agar Mohd Dawisy Zarif dapat bangkit dan terus mengasah bakatnya, dengan keyakinan suatu hari nanti remaja itu mampu menjadi pelapis dalam pasukan kebangsaan.
“Saya bersedia untuk bertemu dengan Mohd Dawisy Zarif namun pada masa ini saya sedang giat menjalani latihan di padang dan diharap selepas itu, saya dapat bertemu dengannya dan luangkan masa bersama.
“Saya harap dia terus berusaha dalam bola sepak dan semoga impian menjadi pemain kebangsaan akan tercapai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasrat Mohd Dawisy Zarif untuk bertemu Faisal disampaikan ibunya, Suhana Samsudin, 38, selepas anaknya kini kembali bersekolah dan mula menjalani latihan bola sepak.
Tambah Faisal, dia juga pernah mengikuti perkembangan kejadian yang menimpa Mohd Dawisy Zarif dan turut bersimpati dengan keadaannya.
Artikel berkaitan: Mangsa renjatan elektrik kembali ke sekolah selepas setahun
Mohd Dawisy Zarif stabil, masih dirawat di ICU HPP
Media sebelum ini melaporkan remaja yang melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil bola di Jalan Kampung Bukit di sini, setahun lalu, kini kembali ke sekolah.
Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, mula sesi persekolahannya selepas hampir setahun tergendala susulan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – MalaysiaGazette