GEORGE TOWN – Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik di bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kejadian di Bayan Lepas pada Khamis lalu kini berada dalam keadaan stabil.
Bapanya, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38, berkata, bagaimanapun, Mohd Dawisy Zarif masih ditidurkan dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
“Semalam lebih empat jam dia (Mohd Dawisy Zarif) berada dalam bilik bedah untuk proses penampalan kulit di bahagian melecur.
“Alhamdulillah proses tampal kulit itu berjalan dengan lancar dan doktor maklumkan keadaan anak saya stabil selain tiada sebarang kecederaan dalaman.
“Doktor turut memaklumkan hari Sabtu ini mereka akan melihat semula kesan daripada penampalan kulit yang dilakukan semalam,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPP, hari ini.
Tambah Mohd Khairi, meskipun keadaan anak bongsunya itu sudah stabil namun doktor terpaksa tidurkan Mohd Dawisy Zarif atas faktor kesihatan.
“Mungkin kalau sedar, dia akan rasa sakit sebab itu doktor tidurkan dan saya percaya ia juga proses penyembuhan cepat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Budak melecur kena renjatan elektrik jalani pembedahan hari ini
MalaysiaGazette semalam melaporkan Mohd Dawisy Zarif menjalani pembedahan menampal kulit selepas lima hari dimasukkan ke HPP akibat terkena renjatan elektrik pada 16 November lalu.
Ibunya, Suhana Samsudin, 37, berkata, pembedahan terhadap Mohd Dawisy Zarif bermula jam 12 tengah hari. – MalaysiaGazette