GEORGE TOWN – Budak lelaki berusia 12 tahun yang melecur 50 peratus akibat terkena renjatan elektrik di bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bayan Lepas, di sini, pada Khamis lalu menjalani pembedahan menampal kulit hari ini.
Ibunya, Suhana Samsudin, 37, berkata, pembedahan terhadap Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi itu bermula jam 12 tengah hari tadi di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Jelas beliau, pembedahan itu dijalankan bagi menampal kulit namun pihaknya tidak mendapat maklumat lanjut oleh doktor.
“Setakat jam 4 (petang) tadi anak saya masih dalam bilik bedah dan kami sekeluarga masih menunggu perkembangan terbaharu daripada doktor selepas pembedahan tersebut selesai.
“Hanya doa menjadi iringan agar pembedahan ini berjalan dengan lancar dan Mohd Dawisy Zarif kembali sihat secepat mungkin,” katanya sambil rindu akan pelukkan anak bongsunya itu.
Tambah Suhana, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian pada Jumaat lalu dan berharap orang ramai berhenti menularkan video kejadian.
“Video itu mengganggu emosi keluarga kami tambahan pula sehingga kini ia masih ditularkan.
“Tolong faham situasi keluarga yang kini mengharapkan anak kembali sihat ini bukan bagi kami lihat lagi rakaman anak saya menggelupur kesakitan,” katanya dengan nada sedih dan kecewa.
Media pada Khamis lalu melaporkan seorang pelajar lelaki Darjah 6 terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa elektrik TNB bagi mengambil bola miliknya yang terjatuh dalam kawasan berkenaan.
Mangsa yang terkena renjatan elektrik dikejar ke HPP kemudian ditidurkan sepanjang rawatan sejak hari kejadian selepas mengalami 50 peratus melecur serta menggunakan alat bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette