700 kg buah longan dibawa masuk tanpa perakuan sah dirampas Maqis Kedah.

KUALA NERANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 700 kilogram (kg) buah longan dari Thailand tanpa perakuan sah.

Pengarahnya, Hisham Abu Bakar berkata, longan itu dirampas selepas pihaknya menahan sebuah treler dari Thailand di pintu masuk sempadan di Kota Putra Durian Burung, di sini, pada Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan pasukan penguatkuasa membawa kepada penemuan buah longan dianggarkan bernilai RM3,000 yang dibawa masuk tanpa perakuan 3P yang diwajibkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Pemeriksaan jam 3.30 petang ke atas treler itu turut mendapati ada buah mangga dan oren namun buah tersebut mempunyai sijil perakuan dan mematuhi syarat import,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kesemua rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, semua rampasan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Kita akan terus mengambil tindakan tegas untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini termasuk tumbuhan, karkas, ikan dan hasil pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast