Seorang lelaki warga asing maut selepas dilanggar sebuah lori semasa melintas di Jalan Senai-Seelong, Kulai malam tadi.

KULAI – Seorang lelaki warganegara asing maut selepas dilanggar sebuah lori semasa melintas di Jalan Senai-Seelong, arah Seelong, dekat sini, malam tadi.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang berada di kiri jalan secara tiba-tiba melintas ke tengah jalan.

“Mangsa dilanggar sebuah lori dan menyebabkannya tercampak di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, selepas kejadian pemandu lori berkenaan gagal dikesan di lokasi kejadian dan kemalangan tersebut dikategorikan sebagai langgar lari.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini, untuk tujuan bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast