PORT DICKSON – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 berjaya melaksanakan misi pengaman di Lubnan dengan dedikasi meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman mengakui semangat juang mereka berhadapan dengan pelbagai situasi tidak menentu di sana membuktikan Malaysia mampu melaksanakan misi pengaman.
“Sumbangan dan komitmen mereka, bukan sahaja membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi pengaman malah menunjukkan kredibiliti negara sebagai penyumbang kestabilan sejagat,” katanya ketika sidang media.
Terdahulu, beliau hadir dan menyempurnakan Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 yang berlangsung di Padang Kawad PUSASDA di sini hari ini.
Sebagai rekod, pasukan tersebut tiba di tanah air pada 6 November lalu setelah setahun melaksanakan misi pengaman di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, MALBATT 850-11.
Kontinjen itu keseluruhannya terdiri daripada 854 orang yang mana 82 pegawai dan 772 anggota, termasuk tiga pegawai dan 27 anggota ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.
Mengulas lanjut, Mohammad Ab. Rahman berkata, pasukannya sentiasa bersedia menyertai misi pengaman di negara-negara termasuk Syria sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dipertimbangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan kerajaan terlebih dahulu.
“(Kini) Kita fokus kepada misi yang telah diberi kepada kita iaitu di Lubnan sekiranya ada keperluan daripada PBB untuk kita menyertai misi-misi yang lain kepimpinan negara akan membuat pertimbangan dan sekiranya mereka menyatakan bersetuju untuk itu kita akan hantar anggota kita .
“Di mana-mana sahaja bukan sahaja di Syria apabila ada keperluan kita akan hantar,” ujarnya. – MalaysiaGazette