Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah selesai, dan pada masa ini kerajaan sedang memperhalusi butiran, parameter dan implikasi daripada langkah berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai perkara itu dan telah mencapai keputusan yang jelas.

“Perbincangan telah selesai, tetapi kami sedang meneliti butiran, parameter dan implikasi undang-undang (mengenainya),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Semalam,  Abang Johari dilaporkan berkata, perincian formula berkaitan penyelesaian isu pengagihan gas akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

“Saya minta Perdana Menteri yang mengumumkan (perincian formula penyelesaian itu). Tunggu sahajalah,” kata Abang Johari selepas menghadiri Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East Asean Growth Area (BIMP-EAGA) Ke-4.

Menerusi satu wawancara dengan sebuah stesen television tempatan sebelum ini,  Abang Johari berkata isu pengagihan gas itu sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar yang akan dibuat Anwar.

Abang Johari berkata isu pengagihan gas itu hanya melibatkan sudut perundangan yang mana Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang dirujuk Petronas dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang dikuatkuasakan oleh Sarawak dapat wujud bersama-sama. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast