Gambar hiasan. Harga MSM meningkat kepada RM4,548.50 setan pada Ogos, disokong permintaan berterusan khususnya daripada sektor biodiesel.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 10.7 peratus pada Ogos 2026 berbanding peningkatan 9.7 peratus pada Julai 2026.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu dipacu terutamanya sektor perlombongan yang mencatat pertumbuhan 41.2 peratus berbanding 30.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurut laporan IHPR Pengeluaran Tempatan Ogos 2026, prestasi sektor perlombongan didorong pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat 49.8 peratus dan pengekstrakan gas asli sebanyak 14.7 peratus.

Sektor pembuatan pula meningkat 8.8 peratus berbanding 8.2 peratus pada Julai, disumbangkan terutamanya pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang meningkat 33.5 peratus serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 12.4 peratus.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turut meningkat 4.6 peratus, namun menyederhana daripada 7.2 peratus pada Julai, dengan pengeluaran ternakan mencatat peningkatan 13.9 peratus.

Sementara itu, sektor utiliti terus merekodkan pertumbuhan dengan bekalan air meningkat 7.8 peratus manakala bekalan elektrik dan gas naik 6.4 peratus.

Pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 1.0 peratus pada Ogos berbanding 0.7 peratus pada Julai.

DOSM berkata, peningkatan itu terutama disumbangkan sektor Perlombongan yang meningkat 6.7 peratus, berbanding 1.1 peratus pada Julai.

Ia disokong pengekstrakan gas asli yang meningkat 8.9 peratus dan pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 6.1 peratus.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 0.8 peratus, manakala sektor pembuatan berkembang lebih sederhana pada 0.4 peratus.

Mengikut peringkat pemprosesan, ketiga-tiga peringkat IHPR pengeluaran tempatan menunjukkan peningkatan pada Ogos.

Indeks Bahan Mentah untuk pemprosesan selanjutnya meningkat 24.8 peratus tahun ke tahun, manakala bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 9.6 peratus.

Indeks Barang Siap pula meningkat 3.1 peratus, didorong Kelengkapan modal yang meningkat 4.3 peratus.

Dalam perbandingan ekonomi terpilih, Taiwan mencatat peningkatan harga pengeluar tertinggi pada Ogos iaitu 16.8 peratus, diikuti Thailand 9.1 peratus, Jepun 7.6 peratus, Amerika Syarikat 5.4 peratus dan China 3.8 peratus.

DOSM berkata, harga minyak mentah global kekal tinggi pada sekitar AS$90.90 setong pada Ogos, meningkat daripada AS$83.40 setong pada Julai berikutan ketidaktentuan geopolitik berterusan dan permintaan tenaga global yang berdaya tahan.

Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia turut meningkat kepada RM4,548.50 setan pada Ogos, disokong permintaan berterusan khususnya daripada sektor biodiesel.

Harga getah asli turut kekal kukuh, disokong kebimbangan terhadap bekalan termasuk potensi gangguan akibat keadaan cuaca.

Secara keseluruhannya, pergerakan harga minyak mentah, MSM dan getah asli terus mempengaruhi harga pengeluar dalam industri utama berkaitan komoditi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here