Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bergambar bersama pemenang pada Majlis Perasmian Ekspo Kampung Baru dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Produk Terbaik Kampung Baru Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah dijemput sekali lagi sebagai negara tetamu kehormat bagi Harbin International Economic and Trade Fair (Harbin Fair) ke-35 di China pada tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jemputan itu susulan penyertaan pertama negara di negara Tembok Besar pada Mei lalu yang telah menarik minat pihak penganjur di sana.

Menurut beliau, ketika itu, sebanyak 39 produk KampungGOOD diketengahkan di Harbin Fair antaranya termasuk makanan tradisional, kopi dan teh, sarang burung, madu serta pelbagai produk tempatan.

“Hanya pengusaha yang memperoleh sijil KampungGOOD akan dipilih untuk mewakili Malaysia di Harbin Expo 2027 bagi memastikan produk yang dibawa ke pasaran antarabangsa memenuhi tahap kualiti untuk mengharumkan nama negara.

“Bayangkan 1.4 bilion warganegara China makan, minum dan menggunakan produk-produk KampungGOOD negara kita dan berapa banyak peluang pekerjaan akan dapat kita kecapi, ini adalah satu usaha berterusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kampung Baru Kebangsaan dan Pertandingan KampungGOOD 2026 di Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Kampung Baru dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Produk Terbaik Kampung Baru Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2026.

Pertandingan KampungGOOD berlangsung sempena program WOW! Kampung Baru Expo Malaysia 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu yang menghimpunkan komuniti daripada 26 Kampung Baru di seluruh negara.

Kor Ming menambah, kampungGOOD bukan sekadar satu pertandingan untuk mencari produk terbaik namun sebagai satu usaha untuk membina keyakinan usahawan Kampung Baru serta membuka ruang yang lebih luas kepada produk mereka agar berkembang ke pasaran lebih besar.

Jelasnya, kementerian juga bercadang memohon peruntukan tambahan RM100 juta bagi meningkatkan dana pembiayaan pengusaha Kampung Baru daripada RM320 juta kepada RM420 juta mulai tahun 2027.

Selain itu, pengusaha Kampung Baru turut digalakkan mendapatkan pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperluas akses pasaran.

Sementara itu, sebanyak 29 peserta mara ke peringkat akhir Pertandingan KampungGOOD 2026 tahun ini bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM40,000.

Pertandingan itu menawarkan hadiah RM10,000 bagi pemenang emas, RM8,000 (perak) dan RM5,000 (gangsa), selain lima anugerah khas bernilai RM3,000 setiap satu bagi kategori kecemerlangan jenama, prestasi pasaran, pemasaran penceritaan, reka bentuk pembungkusan dan amalan nilai.

Produk mencuri tumpuan dalam pertandingan KampungGOOD adalah Sos Cincalok Island dari Kampung Baru Rangkaian Sungai Pinang, Perak yang memperoleh anugerah emas.
Seterusnya Gula-gula Kacang Tumbuk Apong Heritaste dari Kampung Baru Sungai Jarom, Selangor yang meraih anugerah perak. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat reruai pada Majlis Perasmian Ekspo Kampung Baru dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Produk Terbaik Kampung Baru Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here