ISKANDAR PUTERI – GGR Motor menyasarkan membuka 50 cawangan baharu di seluruh negara sehingga hujung tahun ini dalam memperkukuh kehadirannya dalam pasaran motosikal elektrik (EV).
Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, sasaran baharu adalah di Negeri Sembilan dan Sarawak iaitu negeri yang masih belum mempunyai cawangan.
“Setakat ini kita sudah ada 19 cawangan dan sasar memiliki 50 cawangan dalam tahun ini, manakala pada tahun depan juga 50 atau 100 cawangan baharu termasuk mewujudkan pengedar-pengedar baharu.

“Kita lihat tempat yang masih belum ada lagi kedai EV. Kita nak sasarkan keadaan selepas jualan, kalau kita jual motosikal sahaja tanpa ambil kira faktor selepas jualan, jualan dan pasaran EV selepas itu boleh merudum,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran GGR Motor X Ajak Perkukuh Rangkaian Motosikal EV GGR di Taman Nusa Bestari di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad dan Pengarah Cawangan tersebut, Mohamad Hanaffi Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro.
Musaddiq berkata, menjual EV bukan sekadar menjual motosikal tetapi sebenarnya menjual gaya hidup terutama untuk anak muda masa kini.
Kata beliau, pihaknya juga menyasarkan untuk membuka cawangan baharu seperti di Shah Alam, Selangor dan Langkawi terutama yang mempunyai kawasan pelancongan kerana sesuai digunakan.

Jelasnya, ini kerana penggunaan EV tanpa bahan bakar dan kos penyelenggaraan amat menjimatkan selain harganya berpatutan serta mampu milik.
Mengenai cawangan pertama di Johor, Musaddiq berkata, ia dijangka memperluas akses masyarakat kepada model Lion G1.
Pelancaran itu katanya, menyusuli pencapaian jualan 10,800 unit Lion G1 dalam tempoh sembilan bulan sejak model berkenaan dilancarkan tahun ini.
“Dalam tempoh sembilan bulan, GGR telah berjaya menjual 10,800 unit Lion G1. Pencapaian ini mencerminkan penerimaan pengguna terhadap EV serta kepercayaan mereka kepada produk yang kami tawarkan.
“Sasaran kita selepas ini antara 20,000 hingga 30,000 dapat dijual. Menerusi cawangan sedia ada akan memudahkan orang ramai mengenali dan mendapatkan motosikal elektrik Lion G1 berserta aksesori eksklusif keluaran GGR Motor.
“Pengembangan rangkaian pengedar juga penting supaya pengguna mempunyai lokasi yang mudah dikunjungi untuk melihat motosikal, mendapatkan penerangan dan membuat pilihan mengikut keperluan mereka.
“Kerjasama bersama-sama artis tempatan menerusi GGR Motor X Ajak, GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil pula membuka ruang untuk kami memperkenalkan jenama GGR kepada khalayak lebih luas,” katanya.

Musaddiq berkata, penglibatan rakan kerjasama tempatan turut membantu menyampaikan maklumat mengenai motosikal elektrik dengan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Kami mahu lebih ramai pengguna mengenali pilihan mobiliti elektrik dan memahami ciri produk sebelum membuat keputusan pembelian. Rangkaian pengedar menjadi penghubung penting antara GGR dengan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ajak Shiro berkata, penglibatannya sebagai Pengarah Cawangan GGR Motor X Ajak memberi peluang mendekati masyarakat Johor dalam bidang mobiliti elektrik.
“Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkenalkan LION G1 dengan lebih dekat kepada orang ramai, khususnya penduduk Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.
“Kami mahu orang ramai selesa datang ke bilik pameran, melihat sendiri motosikal dan bertanya mengenai ciri serta penggunaannya. Apabila mendapat penerangan yang jelas, mereka boleh menilai kesesuaiannya dengan rutin harian,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran masyarakat setempat dan komuniti kenderaan elektrik ke GGR Motor X Ajak untuk mengenali model berkenaan. – MalaysiaGazette
















