KOTA TINGGI – Bandar ini yang penuh bersejarah menjadi tumpuan kelmarin apabila orang ramai dengan pakaian berwarna-warni datang dari segenap laluan kota menuju ke satu lokasi.
Pelbagai peringkat umur dan bangsa dengan pakaian bermacam warna dapat dilihat termasuk datang bersama-sama keluarga pada hari cuti minggu tersebut, situasi yang jarang kelihatan di bandar ini.
Mereka sebenarnya peserta MDKT Splash & Colour Fun Run 2026 yang melibatkan jarak sejauh lima kilometer yang berlangsung di Astaka Budaya Kota Tinggi di sini.

Kira-kira 1,500 peserta seakan ‘menawan’ bandar Kota Tinggi dengan kepelbagaian warna mengikut terma pada hari tersebut.
Menurut Setiausaha Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Nurul Aishah Mahamadon, acara tersebut kini memasuki tahun keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2023.
Katanya, acara tahunan anjuran MDKT itu bukan sahaja memeriahkan suasana komuniti setempat, malah turut mendapat sambutan meriah peserta dari luar daerah dan negeri sekali gus menyokong sambutan Tahun Melawat Johor 2026.

Menurutnya, kemeriahan dan sambutan yang diterima pada tahun ini menjadi satu suntikan semangat untuk pihak MDKT terus memperkasakan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang.
“Semoga MDKT Splash & Colour Fun Run dapat diteruskan lagi pada tahun 2027 dengan penyertaan yang lebih ramai, pengisian yang lebih menarik serta impak yang lebih besar kepada komuniti dan sektor pelancongan Kota Tinggi,” katanya.
Terdahulu acara berkenaan disempurnakan Pengarah Tourism Johor, Mohd Nazrul Abd Rahim serta turut dihadiri Ketua Whip Ahli Majlis MDKT, Hashim Mohamad.

Program dikelolakan Jabatan Pembangunan Masyarakat MDKT itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, SWCorp dan SAJ Ranhill.
Turut memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini adalah Pejabat DUN Johor Lama, Johor Plantation Group serta Farm Fresh Fida Group.- MalaysiaGazette
















