MELAKA – Kehadiran beberapa pemimpin kanan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, malam ini mencetuskan spekulasi mengenai perkembangan terbaharu rundingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka bulan depan.
Antara pemimpin Bersatu yang dilihat hadir ialah Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengarah Pilihan Raya Melaka merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Hadir sama, Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia merangkap Ahli MPT Bersatu, Datuk Sri R Sanjeevan dan Ketua Penerangan Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim selain rakan di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) diwakili Presidennya Datuk Dr Ibrahim Ali.
Di blok PH, turut hadir ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Beberapa pemimpin lain PH dijangka turut hadir ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim dan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.
Pertemuan Jamuan Makan Malam Tertutup Pra-PRN Melaka itu bagaimanapun dikatakan berlangsung secara tertutup.
Mengikut tentatif selepas malam malam, program akan diteruskan dengan ucapan Mohamad diikuti Adly sebelum sesi suai kenal.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mempunyai kaitan dengan rundingan kerjasama politik antara Bersatu dan PH yang sebelum ini disahkan sedang berlangsung di peringkat negeri dan pusat.
Perkembangan itu selepas Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari minggu lalu dilaporkan berkata, PH melihat kerjasama ‘PH Plus’ PRN Melaka lebih sesuai dilaksanakan.
Menteri Besar Selangor itu berkata, ia sebagai persefahaman pilihan raya berbanding pembentukan gabungan politik baharu, mengambil kira tempoh persiapan yang semakin singkat untuk membentuk satu gabungan baharu.
Adly yang juga Naib Presiden Amanah sebelum ini berkata, PH di peringkat negeri sudah menyelesaikan pembahagian kerusi antara PKR, Amanah dan DAP menerusi formula ‘PH Plus’ tanpa Barisan Nasional (BN).
Namun katanya, rundingan PH Plus mungkin menyaksikan berlaku pertukaran kerusi berdasarkan prinsip tolak ansur namun rundingan formula itu masih belum dimuktamadkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, Amanah diperuntukkan lapan kerusi pada PRN kali ini dengan empat daripadanya sudah dimuktamadkan untuk ditandingi parti itu, iaitu DUN Bukit Katil; Durian Tunggal; Telok Mas dan Merlimau.
Empat lagi kerusi iaitu Pantai Kundor; Kuala Linggil Sungai Rambai dan Taboh Naning masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada rundingan PH Plus.
Justeru, kehadiran tokoh daripada kedua-dua blok politik itu malam ini dilihat mungkin berkaitan rundingan beberapa kerusi yang belum dimuktamadkan menjelang tarikh PRN diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 7 Oktober ini. – MalaysiaGazette
















