Marhamah Rosli

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan beliau berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.

Sehubungan itu, Marhamah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran New Age Movement (NAM) atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan mengadakan pertemuan untuk memberi penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang telah diberikan, tiada pertikaian berhubung akidah saya dan tiada keterlibatan saya sama sekali dengan NAM.

“Nasihat yang diberikan adalah berkaitan beberapa hantaran lama saya yang memerlukan penjelasan, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Marhamah turut menjelaskan berkenaan beberapa individu yang dikaitkan dengan beliau dalam dakwaan tular iaitu Umar Paranorms; Afnan Rosli dan Ustaz Nasrullah.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi, hubungan perguruan atau kerjasama dengan Umar Paranorms berkaitan apa-apa ajaran atau fahaman.

Jelasnya, berkenaan Afnan Rosli pula, beliau pernah menghadiri sebuah program terbuka individu berkenaan sebagai peserta bagi tujuan mendapatkan ilmu berkaitan pembangunan diri.

Sementara itu, ujarnya, pertemuan dengan Ustaz Nasrullah adalah semata-mata berkaitan urusan promosi sebuah filem, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan NAM.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kegusaran yang timbul daripada hantaran atau penggunaan istilah saya pada masa lalu.

“Pada masa yang sama, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan New Age Movement dan kekal berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here