KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memperhebatkan penggunaan kaedah terkini dan moden termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai inovasi utama dalam industri pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggunaan AI oleh agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) buat masa ini masih di peringkat awal.
Antara yang sudah digunakan, katanya, adalah site monitoring system (sistem pemantauan tapak lapangan) menggunakan kaedah AI versi terbaharu.
“Jika ada peruntukkan, saya syorkan pegawai-pegawai yang terlibat boleh dihantar melihat contoh negara Korea Selatan, China dan India untuk belajar mendalami kepantasan pembangunan dengan berkualiti.
“Pemantauan itu satu hal menggunakan AI, dari segi pembinaan juga gunakan kaedah AI. Kita harapkan konsep pembinaan menggunakan aplikasi metaverse teknologi AI bagi menyelesaikan masalah.
“Sebagai contoh monitoring site (pemantauan tapak lapangan). Satu lagi contoh, perubahan cuaca. Kemudian konsep aplikasi 3D melihat bangunan dibuat secara maya walaupun bangunan itu masih dalam proses perancangan, ini building information modelling (BIM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan 12 Projek Siap oleh JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Ir Norman Md Rabani.
Menurut Ahmad lagi, segala penanda aras antarabangsa diteliti serta mendapat sumbang saran daripada pihak JKR untuk memperbaiki perkhidmatan dari segi masa, kualiti, kos dan kepantasan.
Sementara itu Ahmad berkata, secara keseluruhan 12 projek siap yang akan diserahkan kepada pelanggan hari ini bernilai RM57.48 juta dan enam daripada projek itu dapat disiapkan lebih awal berbanding tarikh penyiapan kontrak.
“Ia melibatkan skop pembinaan bangunan tambahan, kerja menaiktaraf bangunan, kerja-kerja mekanikal seperti penggantian lif dan sistem penyaman udara berpusat serta kerja pembaikan cerun.
“Antaranya projek naiktaraf Institut Sukan Negara Bukit Jalil dengan nilai kos projek sebanyak RM23.9 juta; ubahsuai dalaman bangunan Aswara (RM6.79 juta); menaiktaraf sistem pembentungan kampus, sisa kimia dan sisa pepejal di Universiti Malaya (RM6.6 juta; menaiktaraf sistem bekalan air di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) Kampus Kuala Lumpur (RM3.38 juta).
“Pembaikan cerun dan kerja-kerja berkaitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Petaling (RM1.2 juta); kerja-kerja pembaikan di Bangunan Menara PTPTN Blok D, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng (RM2.73 juta) dan enam projek lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette