Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor dalam kenyataan menzahirkan rasa sedih terhadap kejadian berlaku awal pagi ini yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi anggota.

“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.

Kejadian dipercayai jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.

Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Keganasan suspek dihentikan selepas berjaya ditembak oleh anggota polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, seramai tujuh individu telah ditahan termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang masing-masing berusia 22 serta 21 tahun.

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati disyaki telah melakukan persediaan rapi untuk melakukan serangan itu.

Pihaknya juga mempercayai kejadian malang ini mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).-MalaysiaGazette