Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan penyebaran maklumat kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua laporan berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes terbabit.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata orang ramai diminta tidak berkongsi kandungan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana perbuatan itu mengganggu siasatan serta proses pendakwaan di mahkamah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu didapati berkongsi kandungan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor turut mengesahkan satu laporan dibuat oleh adik lelaki Zaim Ikhwan Zahari (bapa Zayn Rayyan) di Balai Polis Kampung Baru Subang, Selangor pada 7.15 malam semalam.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyarankan keluarga kepada kanak-kanak terbabit membuat laporan polis sekiranya berasa terancam susulan penyebaran dikatakan laporan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu dalam media sosial.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan rakyat selain memastikan siasatan kes itu berjalan lancar. – BERNAMA