Antara pemandu bas ekpres yang ditahan dalam Ops Kenderaan Perdagangan hari ini.

KUALA LUMPUR – Tidak sedar memandu di lorong kanan dan tidak laju, itu antara alasan diberikan seorang pemandu sebuah bas ekpres yang ditahan menerusi Ops Kenderaan Perdagangan, hari ini.

Operasi bermula sekitar jam 9 pagi itu dijalankan sekitar Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Tanjung Malim bagi mengesan kenderaan perdagangan yang memandu secara berbahaya.

Pemandu berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang selepas didapati dipandu laju selain menggunakan lorong kanan secara berterusan.

Bagaimanapun, tindakan bahaya pemandu bas terbabit berjaya dirakam pegawai JPJ yang bertugas sebelum bertindak menahan bas berkenaan untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat

 

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat, sepanjang operasi itu dilaksanakan sebanyak 85 kenderaan perdagangan telah diperiksa manakala 33 kenderaan diambil tindakan.

“Kesemua 33 tindakan itu membabitkan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, dengan 33 kesalahan direkodkan dan 33 notis saman dikeluarkan manakala dua kenderaan disita dalam operasi berkenaan.

“Biasanya alasan yang diberikan adalah mereka mahu bergerak dengan cepat atau laju, tetapi sebenarnya kenderaan berat bukanlah bergerak laju. Jika berada di lorong kanan, ia akan menyebabkan trafik semakin perlahan dan kesesakan.

“Ini kerana pergerakan kenderaan berat adalah lebih perlahan dan sepatutnya kenderaan berat perlu berada di lorong paling kiri dan jika mahu memotong, gunakan lorong tengah,” katanya dalam sidang media Ops Kenderaan Perdagangan, di Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah utara hari ini.

Pmeandu lori ditahan dalam Ops Kenderaan Perdagangan hari ini.

Tegas beliau, penggunaan lorong kanan secara berterusan oleh kenderaan perdagangan turut meningkatkan risiko kemalangan kerana lorong tersebut lazimnya digunakan bagi kenderaan yang bergerak lebih laju.

“Kesalahan memandu secara berterusan di lorong paling kanan membabitkan kenderaan barangan atau kenderaan perkhidmatan awam akan dikenakan tindakan berdasarkan Kaedah 4A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang turut disenaraikan dalam Senarai Kesalahan Tindakan Penguatkuasaan JPJ Tahun 2026.

“JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjejaskan kelancaran lalu lintas,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, pihaknya telah memeriksa sebanyak 427,938 kenderaan perdagangan di seluruh Selangor, dengan 18,726 kenderaan diambil tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here