BAYAN LEPAS – Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bayan Baru di Lorong Bayan Indah, di sini, diserbu orang ramai bagi urusan mendaftar Akaun 3 atau Akaun Fleksibel, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini, mendapati kebanyakannya beratur untuk mengemas kini nombor telefon bimbit serta mendapatkan maklumat pengeluaran caruman menerusi Akaun Fleksibel.

Selain itu, suasana di pekarangan bangunan itu tenang dan berjalan lancar berikutan ramai petugas dilihat membantu pencarum yang datang berurusan.

Difahamkan sejak Isnin lalu pejabat KWSP itu diserbu orang ramai dan lebih 1,000 pencarum  setiap hari bagi mendapatkan maklumat Akaun Fleksibel.

Fatin Tiara beratur di Pejabat KWSP Bayan Baru untuk mengemas kini nombor telefon bimbitnya.

Menurut Fatin Tiara Deana Noor Azami, 32, dia datang untuk mengemas kini nombor telefon bimbit bagi membolehkannya menyemak serta mendapat maklumat akaun menerusi Aplikasi i-Akaun.

“Memang saya mai (datang) untuk buat semakan pengeluaran Akaun Fleksibel kerana tak dapat semak secara dalam talian disebabkan masalah nombor telefon.

“Buat masa ini, saya tak tahu jumlah pengeluaran bagi Akaun 3 tu namun saya berharap ada yang boleh dikeluarkan untuk menampung kos sara hidup ketika ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, Shahrul Affendi Awaluddin, 47, meluahkan rasa syukur atas tindakan kerajaan menyediakan Akaun Fleksibel yang disifatkan dapat meringgan beban pencarum yang memerlukan.

“Bulan lepas saya tahu mengenai Akaun 3 ini cuma baru hari ini berpeluang untuk datang ke pejabat KWSP mendapatkan pencerahan termasuk jumlah pengeluaran yang dibenarkan.

Shahrul Affendi hadir bersama isterinya ke pejabat KWSP.

“Meskipun sudah ada i-Akaun saya terpaksa datang ke pejabat KWSP kerana masih mempunyai kekeliruan terhadap proses caruman wang ke Akaun 3.

“Pengeluaran yang akan saya lakukan itu demi kelangsungan hidup termasuk menguruskan perbelanjaan anak-anak,” katanya.

Bagi Azhar Said, 46, pula, dia tidak tahu jumlah pengeluaran yang dibenarkan menerusi Akaun Fleksibel namun pengeluaran itu amat diperlukan dia dan keluarga.

Azhar.

“Saya datang semak jumlah serta syarat untuk lakukan pengeluaran dan harap-harap ada sedikit jumlah simpanan KWSP untuk kegunaan kami ketika ini.

“Pengeluaran ini sedikit sebanyak dapat membantu saya merancang kewangan keluarga dengan lebih baik serta bagi kegunaan kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette