Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas hadir bagi dua kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi, di sini, dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor untuk membatalkan dua tuduhan menghasut.

Difahamkan Sanusi telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula selama 10 hari pada 22, 23, 29 dan 30 Julai, selain 5, 6, 9, 12 dan 13 serta 23 Ogos ini.

Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor pada awal tahun ini.

Sanusi dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pada 11 Julai tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu dibacakan semula selepas kes itu dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Februari lalu. – MalaysiaGazette