Suspek bertindak keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri daripada orang awam yang mengejarnya.

KUALA LUMPUR – Akibat pertengkaran mulut dan takut diugut kenderaan akan dirosakkan – seorang pemandu lelaki bertindak memandu keretanya melawan arus sebelum merempuh beberapa kenderaan di Jalan Kebun, Klang semalam.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sebelum itu lelaki terbabit terlibat dalam kemalangan kecil dengan seorang penunggang motosikal.

“Akibat terlalu takut, pemandu Satria berusia 24 tahun itu memecut laju sehingga ke laluan Jalan Raja Nong dan bergesel dengan sebuah motosikal namun terus melarikan diri selepas dikejar kedua-dua penunggang motosikal terbabit.

“Kemudian, suspek memandu secara melawan arus dan dalam situasi itu, dia telah merempuh beberapa kenderaan lain di bahu jalan sebelum keretanya terjun ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek bertindak keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri daripada orang awam yang mengejarnya.

“Semasa suspek berada di dalam longkang, beberapa orang awam telah bertindak membaling objek dan memukulnya dengan pelepah kelapa namun dia dapat menyelamatkan diri di bawah jambatan.

“Suspek kemudian berjaya diselamatkan sebaik anggota kereta peronda polis datang ke lokasi dan kemudian menahan suspek serta membawanya ke balai polis untuk membantu siastan,” jelasnya.

Hoong Fong menambah, sehingga kini, polis sebanyak 10 laporan telah diterima berhubung kemalangan tersebut daripada mangsa yang terlibat untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi pegawaipenyiasat di talian 011-25300305 atau hadir ke Balai Polis Trafik Klang Selatan. – MalaysiaGazette