Gambar hiasan

SEOUL – Eksport mi segera Korea Selatan melepasi paras AS$100 juta buat kali pertama bulan April berikutan peningkatan populariti budaya dan makanan Korea.

Eksport mi segera, atau “ramyeon” dalam bahasa Korea, mencecah AS$108.6 juta pada April, meningkat 46.8 peratus daripada tahun sebelumnya, berkembang pada kadar terpantas sejak Mei 2022, menurut Perkhidmatan Kastam Korea (KCS).

Menurutnya, eksport Ramyeon terus meningkat sejak 2015 dan dijangka mencecah paras tertinggi baharu tahun ini sejajar dengan populariti filem, drama dan muzik Korea, serta permintaan tinggi untuk produk makanan mampu milik dan sedia untuk dimakan di tengah-tengah tingginya inflasi.

Tahun lepas, eksport ramyeon mencapai rekod tertinggi AS$952 juta, melonjak 24.4 peratus daripada 2022.

KCS menjangkakan eksport melebihi AS$1 bilion tahun ini.

Samyang Foods Co., pembuat mi segera utama Korea Selatan, menyaksikan jualannya melonjak 57 peratus ke tahun kepada 385.7 bilion won ($284.5 juta) pada suku pertama.

Syarikat itu berkata, pendapatannya daripada pasaran luar negara, khususnya, melonjak 85 peratus berkat populariti perisa carbonara barangan mi segera pedas yang terkenal, Buldak Ramen.

Hasil luar negara menyumbang 75 peratus daripada jumlah jualan Samyang pada suku pertama, menurut syarikat itu. – Agensi