Sebanyak 65 motosikal disita dalam operasi tersebut.

BAYAN LEPAS – Sebanyak 65 buah motosikal disita dalam Ops Bersepadu Gempur Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate, di sini, semalam.

Operasi selama sembilan jam yang berakhir pukul 11 pagi itu melibatkan 32 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Barat Daya serta dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, operasi itu dilakukan bagi membendung kegiatan samseng jalanan selain memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalulintas sedia ada.

342 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.

“Ratusan motosikal diperiksa dalam operasi tersebut dan 65 daripadanya disita mengikut Seksye 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi sama, sebanyak 342 keping saman telah dikeluarkan atas lain-lain kesalahan selain 40 notis pemeriksaan kenderaan dikeluarkan JPJ,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Kamarul Rizal, operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam. – MalaysiaGazette