Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menaungi Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) dijangka mampu mengukuhkan hubungan di antara kerajaan dan golongan belia.

Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, ia sekaligus dapat mengangkat peranan belia dalam pembangunan modal insan dan penerapaan nilai-nilai sosial dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sebagai penaung MBWP, Dr Zaliha diyakini mampu memberikan bimbingan yang bernas dan berwibawa dalam usaha badan itu dan gabungannya memperkasakan belia Wilayah Persekutuan.

“Penganugerahan ini merupakan satu langkah strategik bersama dalam usaha memperkukuhkan hubungan di antara kerajaan dan golongan belia, serta memperhebatkan peranan belia dalam pembangunan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa hadir ke Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Bukit Kiara.

Sabtu lalu, media melaporkan Dr Zaliha menerima ‘lamaran’ daripada Khairul Rizam sebagai penaung MBWP selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Bukit Kiara, di sini.

Selain itu, Zaliha juga mengumumkan kelulusan dana kepada MBWP sejumlah RM50,000 untuk memudahkan urusan pentadbiran badan belia itu.

Dalam pada itu, Zaliha juga mengumumkan pelanjutan tarikh penyertaan sebagai ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan sehingga 31 Mei ini bagi memberi ruang kepada lebih ramai calon yang layak dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan. – MalaysiaGazette