KUALA LUMPUR – Malaysia berduka atas tragedi menimpa Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang maut selepas helikopter dinaiki terhempas di wilayah Azerbaijan Timur pada awal pagi Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Raisi seorang yang terbuka dan merupakan pemimpin yang selesa untuk mengadakan kerjasama.

“Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” kata Anwar dalam kenyataan.

Raisi dan Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian maut apabila helikopter dinaiki mereka terhempas ketika melintasi kawasan pergunungan dalam kabus tebal.

Allahyarham dalam penerbangan pulang daripada satu majlis untuk merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

Helikopter dinaikinya itu dipercayai terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan pada Ahad.

“Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran. Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” kata Anwar.

Helikopter membawa Ebrahim, Hossein dan beberapa lagi yang terhempas semalam itu selepas misi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dalam keadaan ribut salji, awal pagi tadi. -MalaysiaGazette