Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan jumlah RM873.9 juta minggu lalu.

MIDF Research berkata, belian ini telah mengubah aliran keluar asing kepada aliran masuk bersih sebanyak RM4.9 juta.

Minat yang berterusan dalam pasaran domestik mungkin berpunca keyakinan ekonomi, selepas data menunjukkan pertumbuhan +4.2% tahun ke tahun dalam Keluaran Dalam Negara KAsar (KDNK) pada suku pertama 2024.

Ini melebihi ramalan pertumbuhan +3.9% anggaran awal yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Dana asing adalah pembeli bersih di Malaysia sepanjang minggu lepas, tertinggi pada hari Rabu dengan aliran masuk bersih RM299.98 juta.

Ini adalah permulaan pembelian bersih yang kukuh oleh dana asing kerana hari-hari berikutnya menyaksikan aliran masuk bersih lebih RM100 juta setiap hari (Khamis: RM269.2 juta, Jumaat: RM184.3 juta).

Sektor yang mempunyai aliran masuk asing bersih tertinggi ialah pengangkutan & logistik (RM223.6 juta), utiliti (RM189.1 juta), dan penjagaan kesihatan (RM183.3 juta).

Manakala satu-satunya sektor yang mempunyai aliran keluar bersih asing ialah perladangan (-RM64.7 juta) dan pembinaan (-RM6.7 juta).

Pelabur institusi tempatan meneruskan rentak jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah RM379.7 juta.

Untuk minggu ke-10 berturut-turut, pelabur runcit melupuskan ekuiti domestik, berjumlah RM494.1 juta.

Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat untuk peruncit tempatan (+27.1%), institusi tempatan (+18.0%) dan pelabur asing (+8.5%). – MalaysiaGazette