Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkembang sebanyak 7.6 peratus kepada 11 juta pada April 2024 berbanding 10.2 juta pada bulan sebelumnya.

Pengendali lapangan terbang itu memaklumkan prestasi trafik berjumlah 7.6 juta penumpang merentasi lapangan terbang tempatannya di Malaysia pada bulan itu, naik lapan peratus berbanding Mac 7.1 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB  berkata berlaku peningkatan ketara pergerakan lebih 3.7 juta pelancong domestik bulan lepas, meningkat daripada 3.2 juta pada Mac 2024.

“Lapangan terbang tempatan di bawah Malaysia Airports menyaksikan lonjakan perjalanan domestik sebanyak 15 peratus pada April 2024, iaitu ketika sambutan Aidilfitri dan musim cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB berkata peningkatan itu diterajui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) dengan kenaikan 20 peratus, berjumlah 1.3 juta penumpang, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), masing-masing mencatatkan peningkatan 15 peratus dalam bilangan penumpang.

“PEN dan LGK masing-masing mencatatkan 298,266 dan 169,326 penumpang, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai hab utama memacu pertumbuhan perjalanan domestik,” katanya.

Menurut MAHB pergerakan penumpang antarabangsa juga mengekalkan kadar yang stabil pada 3.9 juta penumpang, menyumbang 51 peratus daripada jumlah prestasi trafik.

“KUL, terus menunjukkan daya tahan sebagai pintu masuk utama, mencatatkan peningkatan empat peratus dalam pergerakan penumpang antarabangsa, kepada 3.3 juta pada April berbanding 3.2 juta penumpang pada Mac 2024,” kata pengendali lapangan terbang itu.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Turkiye, kedua-dua sektor antarabangsa dan domestiknya masing-masing mencatatkan 1.7 juta pergerakan penumpang pada April 2024, menjadikan jumlah penumpang sebanyak 3.4 juta dikendalikannya pada bulan itu.

Sektor domestik menyaksikan lonjakan 21 peratus, dengan pergerakan penumpang melonjak kepada 1.7 juta pada April 2024 daripada 1.4 juta pada bulan sebelumnya.

MAHB menyifatkan peningkatan yang ketara itu disokong oleh kemuncak musim perjalanan, didorong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan dan perayaan seperti Aidilfitri dan Easter. – BERNAMA