Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem Baharu di Ballroom, Hotel Marriot, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan dalam mengenal pasti motif beberapa serangan melibatkan institusi penting negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kini tertumpu dalam mengesan sama ada kesemua serangan terbaharu itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Polis teliti adakah ini tindakan rambang atau rancangan terkoordinasi sama ada dibuat individu atau kumpulan serta mencari dalang yang terlibat.

“Siasatan menjurus dalam menentukan plot, motif, berkumpulan atau individu. Itu semua jadi keutamaan untuk kita tentukan dahulu. Penting siasatan ini dibuat tanpa spekulasi atau sebarang andaian,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau menambah, orang ramai diharap tidak mensensasikan kes itu dengan melontarkan pandangan tidak berasas sehingga menggugat ketenteraman awam.

“PDRM sedang membuat siasatan segera dan dalam keadaan berjaga-jaga kerana keselamatan awam sentiasa jadi keutamaan kita.

“Kita sedar banyak kes berlaku baru-baru ini melibatkan serangan Balai Polis Ulu Tiram mengorbankan dua anggota, ceroboh Balai Polis Dato’ Keramat dan cuba curi senjata, ancaman bunuh terhadap Teresa Kok dan cubaan ceroboh Istana Negara, semua ini kita pandang serius,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat susulan pengedaran fotofit suspek menyimbah asid terhadap pemain Harimau Malaya, Faisal Halim untuk tampil membantu siasatan.

Susulan itu, beliau berharap masyarakat mempercayai kredibiliti PDRM yang mencecah usia 217 tahun dalam menjalankan siasatan secara telus tanpa perlu mencipta persepsi negatif. – MalaysiaGazette