SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Anak kepada Menteri Besar Perlis dan bekas setiausaha politik pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah esok.

Sumber berkata, pertuduhan ke atas anak Mohd Shukri Ramli itu akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Media pada 24 April lalu, melaporkan anak kepada Mohd Shukri antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Anak MB Perlis bersama empat lagi kemudian dilepaskan pada 26 April lalu dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat.

Susulan siasatan yang dijalankan, SPRM pada 30 April lalu menahan ohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau ditahan kira-kira pukul 11 pagi semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan jaminan kira-kira pukul 7 malam.

Sementara itu, berdasarkan jemputan liputan media, SPRM memaklumkan mereka sudah mendapat izin mendakwa seorang pemilik syarikat dan seorang bekas setiausaha politik esok di dua mahkamah berbeza.

Pemilik syarikat itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis manakala bekas setiausaha politik akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette