Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang sedang membawa keluar dua mangsa terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam parit di Bagan Datuk, pagi tadi. Foto IHSAN JBPM PERAK

BAGAN DATUK – Dua daripada tiga lelaki maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta terbabas ke dalam parit di Jalan Simpang Empat-Bagan Datuk berhampiran Kompleks Sukan Bagan Datuk, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 3.25 pagi.

Katanya, sejurus selepas itu sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Ketika di lokasi pasukan bomba mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang terbabas.

“Kejadian membabitkan tiga lelaki yang mana dua daripada mereka terperangkap sementara seorang lagi dikhuatiri tercampak keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dua lelaki maut kereta terbabas ke dalam parit bagan datuk bomba Perak JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad kemalangan jalan raya
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang sedang membawa keluar dua mangsa terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam parit di Bagan Datuk, pagi tadi. Foto IHSAN JBPM PERAK

Tambah Sabarodzi, pasukan penyelamat menggunakan peralatan penyelamat bagi mengeluarkan dia mangsa yang terperangkap dalam bangkai kenderaan itu.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Sementara seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Nafis Nazmi Abdul Hadi itu tamat pada jam 4.50 pagi.

Identiti kesemua mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette