Majlis menandatangani memorandum persefahaman telah diadakan di Abu Dhabi, UAE dengan turut dihadiri oleh Putera Sheikh Khalifa Khaled Ahmed Hamed Al Hamed.

KUALA LUMPUR – Royal Eficaz (RE) dan Gobuilders Netsoft Sdn. Bhd. (GOLOG) menjalin kerjasama strategik dengan menyasarkan pembangunan Pusat Pengedaran Halal Serantau Pintar (RHDC) serta Pelabuhan Darat Serantau Pintar (RHIP) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Golog, Ivan Chin Wen Hau, kerjasama itu merupakan inisiatif bagi mengembangkan peluang perniagaan dalam aspek halal seperti eksport makanan beku dan layanan terkait ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Sasaran ini adalah bagi mewujudkan pelaburan berjumlah USD 150 juta khususnya dari UAE yang berminat ke GOLOG untuk merealisasikan projek RHDC, RHIP dan projek-projek yang berhubung makanan Halal di Malaysia.

“Ia juga termasuk menyediakan perkhidmatan teknologi Smart RHDC, pemasaran dan pengembangan peluang perniagaan secara global untuk keuntungan komersial termasuk pengurusan rantaian bekalan sesuai dengan keperluan pelanggan,” katanya.

Baru-baru ini satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) telah diadakan di Abu Dhabi, UAE dengan turut dihadiri oleh Putera Sheikh Khalifa Khaled Ahmed Hamed Al Hamed.

Hadir mewakili Golog ialah, Ketua Pegawai Teknologi, Zip King, Ketua Pegawai Operasi, Daniel Then mankala mewakili RE ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Nurliza Mohamed Yusuff, Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Fais Fauzi dan Pengarah Eksekutif, Kapten Helmi Mohd Ali.

Dalam pada itu, menurut Ivan, pihaknya menyimpan harapan besar agar kerjasama strategik yang terjalin ini dapat membantu mengembangkan teknologi Golog ke negara UAE termasuk menerusi Smart RHDC, RHIP.

“Diharapkan menerusi MOU ini, ia menandakan satu permulaan perkongsian dinamik antara kami dalam usaha mentakrifkan semula piawaian industri dan memacu inisiatif transformasi.

“Kerjasama ini bukan sahaja menekankan kehebatan dan ketajaman visi Royal Eficaz General Trading LLC dan Gobuilders Netsoft Sdn Bhd, tetapi juga menekankan pentingnya peranan masing-masing dalam memacu kemajuan ekonomi serantau dan global melalui penyelesaian inovatif,” katanya. – MalaysiaGazette