Jurutera sebuah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara empat direman kes kemukakan tuntutan palsu bagi projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya di sini.

GEORGE TOWN – Seorang jurutera sebuah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara empat individu direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya pada 2020.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membenarkan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini terhadap kesemua mereka selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba jam 9.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, jurutera berusia 34 tahun serta tiga kontraktor berumur lingkungan 30-an itu ditahan semalam selepas mereka hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

“Kesemua suspek dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira bernilai RM86,000 bagi projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya di sini.

“Bagaimanapun, projek itu tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan jika didapati bersalah,” katanya. – MalaysiaGazette