Gambar hiasan.

KUALA LANGAT – Seorang remaja perempuan bawah umur melalui detik cemas apabila nyaris menjadi mangsa rogol lelaki kenalannya yang dikenalinya menerusi sebuah aplikasi dalam talian di Telok Panglima GarangĀ  pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, tindakan suspek yang dipercayai seorang komando itu telah disedari bapa mangsa selepas menemui lelaki itu bersembunyi di sebalik pintu bilik rumahnya.

Katanya, polis telah menerima laporan daripada seorang individu kira-kira 1.38 petang mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku kira-kira 5 pagi apabila individu berkenaan mendapati suspek berada di dalam rumahnya sebelum bertindak menangkap lelaki tersebut.

“Suspek mengaku telah memasuki rumah berkenaan dengan tujuan untuk melakukan hubungan intim dengan anak gadisnya yang berumur 15 tahun,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Bertindak atas maklumat aduan itu, Ahmad Ridhwan berkata, sepasukan anggota polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek selepas kejadian.

“Siasatan polis mendapati suspek merupakan seorang penjawat awam berusia 29 tahun yang bertugas di Ulu Kinta, Perak,” ujarnya.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah rogol.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan hendaklah kenakan hukuman sebat,” ujarnya. – MalaysiaGazette