Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Perjuangan secara berterusan, tegas dalam isu Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan merupakan jaminan rakyat Sabah akan terus berjuang menuntut hak-hak mereka.

Itu reaksi Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman menjawab isu kerajaan negeri dikatakan membuat kesilapan semasa semakan kehakiman mengenai hak Sabah terhadap 40 peratus hasil kutipan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) dan pengasas bersama kumpulan MySabah yang mendorong pembentukan panel semakan MA63 berkata, perjuangan itu tidak pernah selesai dan tidak akan sesekali terhenti.

“Ingat ya, mesej yang jelas telah dikeluarkan bahawa Sabah tidak akan berganjak walau sedikit pun. Kata-kata yang digunakan oleh Ketua Menteri dalam kenyataannya sebelum ini sangat jelas. 

“Namun kita mesti belajar daripada kesilapan yang dibuat. Secara peribadi, saya melihat bahawa isu MA63 menyatukan semua rakyat Sabah walaupun terdapat perbezaan perfahaman antara kita. Inilah yang membuat kita kuat,” katanya dalam kenyataan.

Kata bekas Menteri Luar, rakyat Sabah khasnya perlu bertenang supaya isu ini dapat ditangani demi kepentingan terbaik negeri dan rakyat. 

“Ap apun kita jangan berpecah, apa sahaja keputusan kita buat demi kepentingan rakyat Sabah. Perjalanan perjuangan ini sudah lama tapi tidak wajar untuk kita berpecah dan menjadikan pihak tertentu sebagai musuh sepanjang perjalanan ini. Kita semua bersama dalam hal ini,” tegasnya.

Anifah adalah tokoh utama yang membawa isu MA63 ke arus perdana politik semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2009 hingga 2018.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Sabah tidak akan melepaskan hak perlembagaan asasnya berkaitan geran khas 40 peratus hasil Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam prosiding rayuan pada Khamis lalu, kemasukan saat akhir kerajaan negeri sebagai ‘pencelah’ menyaksikan peguam mewakili pejabat Peguam Besar Negeri, Tengku Fuad Ahmad mempersoalkan locus standi Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dalam memohon semakan terhadap hasil 40 peratus negeri. – MalaysiaGazette