Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi diesel semalam mengesahkan laporan media Singapura bahawa harga bahan api itu akan naik dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei lalu.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, ternyata 10 hari selepas kemenangan PRK KKB, laporan media tersebut adalah sahih malah berkemungkinan besar harga RON95 turut akan naik selepas Hari Raya Aidiladha nanti.

“Tanpa menyatakan tarikh mula penarikan balik subsidi diesel, ia berpotensi menyebabkan penyeludup diesel mengganas dengan membeli semua bekalan diesel di stesen minyak dan menyebabkan bekalan habis sebelum tarikh subsidi diesel dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Pengecualian di Sabah dan Sarawak buat sementara waktu disebabkan ramai rakyat kita menggunakan kenderaan diesel seperti trak pick up untuk aktiviti harian disebabkan jalan yang kurang elok di situ,” katanya dalam kenyataan.

Shahir berkata, menerusi pengumuman terbaru, 10 jenis kenderaan pengangkutan dan 23 jenis kenderaan barangan akan terima subsidi diesel.

Katanya, kenderaan seperti bas, nelayan akan terus terima subsidi diesel dan diharapkan ia dapat mengurangkan kesan inflasi akibat kenaikan harga barang.

“Perlaksaaan subsidi diesel bersasar ini dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekitar RM4 billion setahun. Namun begitu, segelintir rakyat yang menggunakan diesel seperti lori pick up di Semenanjung dan beberapa jenis kenderaan keluarga, bakal menerima tempias kenaikan harga diesel ini.

“Oleh itu, kerajaan perlu mencari penyelesaian bagi menolong golongan M40 yang terkesan ini,” ujarnya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dan bakal memberi penjimatan RM4 billion setahun yang akan digunakan untuk faedah rakyat.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak dikecualikan berikutan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri menggunakan kenderaan diesel.

Menurut Anwar, pelaksanaan melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) melibatkan 10 jenis pengangkutan awam dan 23 kenderaan pengangkutan barangan akan membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Tambahnya, pelaksanaan tersebut hanya akan memberi kesan terhadap golongan T20 dan 3.8 juta rakyat asing.

Penyasaran subsidi diesel, katanya, tidak akan membebankan golongan B40 dan M40 yang terdiri daripada pelbagai pekerjaan dan kegiatan ekonomi. – MalaysiaGazette