Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri kenderaan dan memecah masuk sebuah rumah di Taman Long Seng, Kuching, Sarawak pada 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Ahsmon Bajah berkata, penahanan suspekĀ  berusia 39 tahun itu di rumahnya di Jalan Matang, Kuching kelmarin adalah hasil daripada maklumat risikan yang dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada rampasan sesjata yang terdiri daripada dua bilah kwantao, bua bilah parang, dua bilah kapak serta pelbagai peralatan pecah rumah dan curi kenderaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine dan memiliki 38 rekod lampau melibatkan jenayah dadah dan kekerasan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahsmon, mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM90,000.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Selain itu, katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-24444 atau balai polis berhampiran – MalaysiaGazette