Hasan Malek

MELAKA – Kadar kebolehpasaran pelajar lepasan institusi pengajian di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) mencapai hampir 95 peratus sekali gus menjamin masa depan cerah graduannya.

Ahli Majlis MARA, Datuk Seri Hasan Malek berkata, angka itu direkodkan menerusi kesemua 287 Institusi Pendidikan Mara (IPMA) yang menyaksikan seramai 94.34 graduannya mendapat pekerjaan.

“Maknanya, peluang itu dah ada dalam apa sahaja bidang termasuklah akauntan, kejuruteraaan, pengangkutan, solar, automotif dan lain-lain.

“Jadi seharusnya peluang ini direbut pelajar-pelajar kita bergantung kepada minat dan kemahiran mereka di bawah saluran yang sudah kita sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya MARA 2024 di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Mara Negeri Nurul Azmi Johari.

Hasan (tengah) meninjau reruai pameran selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya MARA 2024 di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Hasan berkata, sektor pendidikan Mara yang telah melahirkan 28,808 graduan tahun lepas memiliki ekosistem yang menyeluruh di mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh menyertai IPMA.

Ia bermula daripada peringkat sijil, asasi/persediaan, diploma, ijazah hinggalah ke peringkat tertinggi dalam dan luar negara.

“Hari ini, kita memiliki 287 pusat IPMA yang menyediakan bidang pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan profesional.

“Saya melihat peluang menerusi TVET ini amat penting sejajar dalam usaha merancakkan pertumbuhan industri negara dengan melahirkan lebih ramai guna tenaga yang berdaya saing dan berkompetensi tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette