Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai. Foto NUR SYADILA AMARI, 16 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mateen, 6, telah dibawa ke rumah mereka Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya di sini, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak malang tersebut.

Pemantauan di lokasi perumahan Blok R itu mendapati suspek wanita itu dibawa polis sekitar jam 10.15 pagi menaiki van putih tertera logo rasmi Polis Diraja Malaysia menuju ke blok R kediaman tersebut.

Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok R kediaman mereka bertujuan melakonkan semula kejadian tersebut sehinggalah mayat anak malang itu ditemui pada 9 10 malam 6 Disember lalu.

Anggota polis juga dilihat membawa objek menyerupai patung kanak-kanak, namun tidak dapat dipastikan tujuannya.

Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan polis melanjutkan semula tempoh reman selama enam hari sehingga 13 Jun ini ke tas pasangan suami isteri itu bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

Pasangan itu dibenarkan untuk sambung reman oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Jumaat lalu.

Suami isteri yang masing-masing berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan itu ditahan polis jam 11 pagi di rumah keluarga mereka di Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Dalam kejadian pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

Laporan bedah siasat mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa sebelum kertas siasatan dibuka dan diklasifikasi sebagai bunuh di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette