Namazee Haris

KUALA LUMPUR – Ada berlaku kekeliruan dalam memahami kontrak oleh pelakon veteran era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid dengan stesen TV AlHijrah (TVAH) untuk program Deko Ibadah terbitan syarikat produksi milik Dharma, WWS Studios.

Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Namanzee Harris berkata, WWS Studios mendapat dana geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk pembikinan sepenuhnya program Deko Ibadah dan TVAH adalah rakan penyiar dengan pihak agensi iaitu Finas.

“Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib mengenai kontrak ditulis TVAH untuk penerbit (WWS Studios) adalah sangat jelas. Kami di TVAH cuma sebagai penyiar program sahaja.

“Oleh itu, pemilikan hak cipta juga masih milik WWS Studios dan Dharma sebagai penerbit boleh menjual produk itu kepada pihak stesen lain kerana TVAH belum lagi membelinya. Ini kerana, kami juga berhadapan kekangan kewangan serta lebih banyak menerbitkan program in house,” katanya memetik laporan Harian Metro.

“Apa pun, kami di TVAH sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Dharma agar segala masalah dialaminya selesai secara baik. Malah, kami di TVAH juga sedia melakukan perbincangan semula dengan WWS Studios.

“Saya harap apa yang kurang jelas dengan isu kontrak diperkatakan Dharma sebelum ini antara WWS Studios dan TVAH sudah diperjelaskan dengan baik. Dalam kontrak itu, tergantung kepada kita juga sama ada mahu membeli hak milik sepenuhnya program itu atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Dharma yang berhadapan masalah kewangan mengeluarkan kenyataan mengaitkan sebuah stesen televisyen yang didakwa tidak membayar kepada produksinya sebanyak RM312,000 untuk produk Deko Ibadah yang sudah ditayangkan dua tahun lalu, meskipun ada kontrak ditandatangani antara mereka.

Menurut Dharma, mengikut kontrak ditandatangani itu, pihak stesen televisyen berkenaan yang menawarkan harga RM312,000 untuk program Deko Ibadah dihasilkan syarikat produksinya dan bukan mereka yang bersikap demand.

Difahamkan jumlah sebanyak RM312,000 itu adalah geran dana Finas yang diperoleh oleh produksi Dharma untuk menyiapkan pembikinan program Deko Ibadah sebagai pemangkin semangat produksi berkarya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Baru-baru ini, Dharma yang pernah popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja berhadapan masalah kewangan sehingga gagal membayar sewa rumah tertunggak sebanyak RM7,500.

Malah Dharma dan keluarganya juga difahamkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju sehingga hujung Jun ini daripada pemilik.

Bagaimanapun, dua anaknya, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, difahamkan tidak bekerja kerana masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sejak kisah masalah kewangan dihadapi itu tular, Dharma menjadi perhatian ramai termasuk beberapa pihak seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Pusat Zakat dan Yayasan Budi tampil membantunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast