Pengasas KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyinggung perasaan umat Islam berikutan penjualan stoking yang mempunyai kalimah Allah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 15 Julai ini bagi keputusan representasi Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya yang mahu gugurkan semua pertuduhan berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Pasangan itu bersama syarikat pembekal stoking serta tiga pengarahnya berdepan pertuduhan dengan niat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah.

Difahamkan, ketika prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir membuat ketetapan tarikh itu selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang dalam peringkat pertimbangan dan kajian berhubung representasi itu.

Untuk makluman, representasi itu adalah permohonan penarikan balik atau untuk menurunkan atau mengurangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Pada 26 Mac lepas, KK Chai dan isterinya, Datin Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah ALLAH di rak pameran jualan.

Stoking itu kemudian telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kee Kan yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.

Manakala syarikat pembekal bersama tiga pengarahnya pula didakwa bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah ALLAH pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Semua mereka berdepan peruntukan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit salahmengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama. – MalaysiaGazette