Tertuduh OKU, Muhammad Haiqal Zarith Abdullah, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mencabul remaja perempuan OKU di sebuah tandas surau, minggu lalu.

MELAKA – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) kaki dan tangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh di sini atas pertuduhan mencabul remaja perempuan OKU di sebuah tandas surau, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Haiqal Zarith Abdullah, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara meramas payudara dan kemaluan mangsa bagi maksud seksual.

Perbuatan itu didakwa di dalam tandas wanita di Surau Taman Bukit Larang Indah, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 5.30 petang 3 Jun lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana mempunyai ibu, ayah dan adik beradik yang lain.

Mahkamah kemudian membenarkan pembantu kedai makan itu diikat jamin RM8,000 dan dilarang mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula 23 Julai ini. – MalaysiaGazette