Tiga guru tadika dan pembantu taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki di sebuah pusat didikan terkenal sejak Mac lalu.

MELAKA – Tiga guru tadika dan pembantu taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki di sebuah pusat didikan terkenal sejak Mac lalu.

Keempat-empat tertuduh, iaitu tiga guru tadika, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24, Hafsah Ab Razak, 33, Nur Diyana Zainudin, 24 dan pembantu tadika sama, Jamia Abd Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru tadika dan pembantu taska kepada dua kanak-kanak lelaki berumur empat dan enam tahun sewaktu kejadian telah mengabaikan atau mendedahknya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan di alamat Bonda Preschool, No 12-1 dan 14-1 Jalan Cheng Indah 8, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah antara pertengahan Mac hingga awal Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadil Mohd Yusof. Turut hadir peguam pemerhati bagi keluarga mangsa Mohamed Ashmeer Mohamad Ashrof.

Terdahulu, Nur Syazwanie ketika prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh Jamia dan Nur Hanis Azwani dan dengan seorang penjamin.

Peguam Mohd Fadil bagaimanapun merayu Jamia dikenakan jaminan rendah kerana hanya bekerja sebagai pembantu dapur tadika dengan gaji RM900 sebulan untuk tugas menguruskan masakan dan tidak terlibat dalam penjagaan kanak-kanak.

Anak guamnya juga merupakan ibu tunggal tiga anak dan terpaksa melakukan kerja sampingan pembantu peniaga dengan upah RM40 sehari.

Tertuduh guru tadika Nur Hanis Azwani pula hujahnya, hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain tinggal dengan ibu dan ayah yang sakit dan merayu setiap tertuduh dikenakan jaminan tanpa bon kurang daripada RM15,000.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rohatul membenarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan perlu hadir pada sebutan dan bicara, tidak mengganggu mangsa dan hadir di balai polis berhampiran setiap bulan. Kes akan disebut semula 30 Julai ini.

Sementara itu dalam prosiding dakwaan sama di hadapan Hakim Azaraorni, Nor Asnini mencadangkan Hafsah dan Nur Diyana masing-masing diikat jamin RM20,000 selain syarat tambahan tidak mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Kesemua kes akan disebut semula 24 Julai ini. – MalaysiaGazette