Penternak menunjukkan tali ternakan kupang Yang terdapat di panggar atau struktur tali pada rakit di tengah laut berhampiran Jeti Nelayan Kuala Sebatu, Jasin, hari ini

JASIN – Seramai 33 nelayan dan penternak kupang di Jeti Nelayan Pengkalan Sebatu, di sini, mendakwa kerugian hampir RM2 juta kerana tidak dapat menjual ratusan ribu kilogram kupang sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Mohd Sah Hashim berkata, ia susulan tiada pengumuman rasmi daripada Jabatan Perikanan (DOF) Melaka untuk menarik balik larangan penjualan  kupang berkuatkuasa 5 April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas jabatan itu menemui alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia pada sampel air dan kupang di Sebatu.

Mohd Sah Hashim

Menurut Mohd Sah, keadaan itu mengakibatkan 33 panggar atau struktur tali pada rakit di tengah laut yang setiap satunya dianggarkan mampu menghasilkan 7,500 kilogram atau 7.5 tan kupang kini terbiar.

Lebih menyedihkan, panggar berkenaan menjadi sasaran nelayan lain yang mencuri kupang untuk dijual di Johor kerana negeri berkenaan yang tidak melarang penjualan kupang.

“Sedangkan kalau ikut jarak perairan cuma beberapa meter sahaja dari Johor dan kami amat berharap pihak berkuasa negeri dapat membantu membenarkan kami menjual kupang atau paling tidak pun berilah kami pampasan sewajarnya.

“Halangan ini juga membuatkan persatuan kerugiaan lebih RM60,000 sejak April lalu kerana tidak dapat memasarkan benih kupang ke Pulau Pinang, Langkawi dan Kedah dan jika ini berlarutan mungkin persatuan pun boleh bankrup,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Nelayan yang juga penternak kupang, Johari Ismail, 60, berkata, dia kehilangan pendapatan kira-kira RM21,000 apabila tidak mendapat hasil daripada lebih 2,100 kilogram kupang yang dijual pada harga antara RM8 hingga RM10 sekilogram sejak April lalu.

Johari Ismail

“Jadi memang dalam dua tiga bulan ini kami hidup dalam keresahan untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi dan anak yang masih belajar.

“Terpaksalah juga turun ke laut menangkap ikan dan memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 takkan nak kerja kilang umur pun dan 60,” katanya.

Pengusaha, Hamzah Abu Samah, 42, berharap masalah dihadapi kumpulan nelayan itu mendapat perhatian pihak berkuasa dengan membenarkan semula penjualan kupang di negeri ini.

Hamzah Abu Samah

“Kalau nak kira rugi, memang 100 peratus rugi kerana kupang yang ada langsung tak boleh dijual tapi sampai bila kami mampu bertahan sedangkan negeri jiran tiada halangan untuk menjual kupang,” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah dilaporkan berkata, sehingga kini larangan terhadap pengusaha kupang atau kerang untuk menjual kerang-kerangan atau dwicengkerang dari Port Dickson masih terpakai demi keselamatan pengguna.

Ia susulan 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat satu kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Analisis sampel air dan kupang di perairan Port Dickson mendapati kandungannya masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan kerana mengandungi alga berbahaya spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia. – MalaysiaGazette