KLANG – Sebuah kawasan perumahan yang menjadi koloni warga asing di Jalan Sultan Abdul Samad 38, Bandar Sultan Suleiman di sini diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi hari ini.
Operasi bersepadu yang dipanggil Ops Bandar Sultan Suleiman itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Bandaraya Diraja Klang, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahana Awam (APM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Lebih 1,700 warga asing diperiksa dalam serbuan secara mengejut itu dengan risikan dilakukan sejak tiga bulan lalu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya bertindak atas aduan penduduk di kawasan berkenaan termasuk melihat sendiri rungutan yang dibuat oleh mereka menerusi aplikasi TikTok.
Berdasarkan aduan, penduduk rimas dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai di tempat mereka sejak kebelakangan ini.
Malah rata-rata mereka bimbang dengan keselamatan keluarga masing-masing terutama kanak-kanak susulan kehadiran warga asing berkenaan.
“Kita syaki secara munasabah mereka telah melakukan kesalahan di bawah perundangan Imigresen dan perundangan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan.
“Kesemua mereka ini akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk saringan melalui sistem komputer bagi semakan dokumen dan pas sebelum memuktamadkan proses tangkapan berdasarkan kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.
Menurut Khairul Aminus, siri operasi seperti itu akan dilakukan secara berterusan berdasarkan aduan yang diterima dan didaftarkan untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, ia adalah antara siri-siri operasi yang dilaksanakan oleh pegawai penguatkluasa JIM Selangor bersama agensi-agensi lain.
Dalam pada itu, Khairul Aminus turut mengingatkan majikan supaya mengambil warga asing untuk bekerja dengan mereka mengikut sektor sebagaimana yang ditetapkan.
Tegasnya, orang ramai dan majikan juga diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette