Laluan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Dr Awang dan Relau dinaiki air hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

GEORGE TOWN – Hujan lebat lebih dari satu jam mengakibatkan beberapa laluan utama di sekitar Bayan Baru dan Bayan Lepas dekat sini dilanda banjir kilat hari ini.

Antara laluan yang terjejas teruk sehingga menyebabkan gangguan lalu lintas adalah Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Relau.

Pemilik sebuah bengkel kereta di Jalan Mahsuri, Wong Wei Chun berkata, peralatan baiki kenderaan serta tayar dalam bengkel ditenggelami air selepas premisnya dilanda banjir kilat pada pukul 6.30 petang.

Keadaan sebuah bengkel kereta selepas kawasan Jalan Mahsuri dilanda banjir kilat.

“Kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku kerana kawasan sekitar sering mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat. Dalam kejadian September lalu, kerugian yang ditanggung oleh premis tersebut mencecah lebih RM6,000 setiap kali banjir.

“Kami hanya mampu reda dan menanggung kerugian kerana banjir kilat ini datang dengan pantas dan air meningkat dengan cepat. Air naik hingga ke paras lutut dan menenggelamkan tayar kereta,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol turut meninjau keadaan selepas kejadian tersebut dan menyatakan paras air sungai yang tinggi dan longkang tersumbat dengan sampah dipercayai punca utama berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.

Beberapa buah motosikal ditenggelami air akibat banjir kilat di kawasan Relau hari ini.

Beliau turut menekankan projek tebatan banjir yang dijanjikan diharap dapat dilaksanakan segera untuk mengatasi masalah ini.

“Beberapa lokasi seperti Persiaran Mahsuri dan Sunway Tunas adalah yang paling terkesan. Walaupun air surut selepas 45 minit, kami tidak boleh membiarkan perkara ini berulang tanpa langkah pencegahan yang lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast